Untuk siaran segera
KUMPULAN AURELIUS HEALTHCARE AMBIL ALIH NILAI MEDICAL CENTRE
Kuala Lumpur, Isnin, 6 September 2021: Kumpulan penjagaan kesihatan baharu, Aurelius Healthcare Sdn. Bhd. (“Aurelius”) yang berhasrat untuk menjadi platform pengurusan penjagaan kesihatan terkemuka di rantau Asia Tenggara, hari ini mengumumkan pengambilalihan hospitalnya yang pertama, iaitu Nilai Medical Centre yang bercirikan multidisiplin dan dilengkapi 100 katil. Pengambilalihan ini merupakan langkah yang sangat bersesuaian dengan strategi Aurelius untuk mentransformasikan penyampaian penjagaan kesihatan dan juga mencapai hasil yang terbaik bagi kesihatan para pesakit. Berikutan pengambilalihan ini, Nilai Medical Centre akan mula beroperasi sebagai Aurelius Hospital Nilai pada September 2021, dan kekal bersedia untuk memberikan perkhidmatan kepada komuniti di Nilai dan juga kawasan-kawasan lain.

Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Aurelius Healthcare, Dato’ Amir Firdaus Abdullah, berkata, “Kami berasa gembira dengan pengambilalihan ini, dan penjenamaan semula hospital ini sebagai Aurelius Hospital Nilai . Kami berhasrat untuk mencapai pertumbuhan pesat dan penambahbaikan terhadap hospital yang cemerlang ini bersama para doktor dan kakitangan yang berdedikasi. Platform ini akan terus memberikan perkhidmatan kepada komuniti di Negeri Sembilan, Selangor, dan Melaka, serta akan ditransformasikan sepenuhnya bagi Penjagaan Onkologi, Kardiologi, Penjagaan Wanita & Kanak-kanak, Ortopedik, dan semua pengkhususan klinikal sebuah hospital tertiari lain untuk para pesakit pada setiap tahap kehidupan mereka. Terdapat rancangan bagi pengembangan pesat hospital dengan blok perubatan pesakit dalaman tambahan untuk menyediakan penjagaan dan sokongan yang terbaik kepada pesakit serta penjaga.

Kami komited dalam menambah baik kemudahan dan perkhidmatan selain terus memastikan pesakit, doktor, pekerja, rakan kongsi dan komuniti yang menerima perkhidmatan kami memperoleh pengalaman yang hebat dan hasil klinikal yang dikehendaki .” Pada bulan Mei 2021, Navis Capital Partners telah menyempurnakan pelaburan majoriti dalam Aurelius Healthcare, dan komited terhadap usaha pengembangan organisasi dengan matlamat untuk memiliki 5-10 hospital yang pesat beroperasi dalam platform.

“Aurelius dan Navis berkongsi wawasan yang sama tentang bagaimana penjagaan kesihatan swasta dapat memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada komuniti di rantau ini. Menerusi amalan pengurusan penjagaan kesihatan bertaraf dunia, interaksi bersama pelbagai pihak berkepentingan mengenai matlamat yang dikongsi bersama, penyepaduan penjagaan dan pelaburan dalam teknologi perubatan, kami akan mewujudkan penjagaan kesihatan yang lebih mudah diakses untuk komuniti kita,” ujar Edwin Fua, Rakan Kongsi di Navis Capital. “Pengambilalihan ini juga merupakan langkah pertama dalam perjalanan panjang kami bersama Aurelius Healthcare dan kami menggalakkan mana-mana pihak yang ingin bersama kami dalam usaha ini untuk menghubungi kami bagi mengadakan perbincangan. Kami bersikap terbuka terhadap perbincangan perkongsian bersama baik secara greenfield (pembinaan kemudahan baharu) mahupun brownfield (pembelian atau penyewaan kemudahan sedia ada),” jelas beliau.

Aurelius Hospital Nilai, yang diterajui oleh Dr Darshini Kumar, Ketua Pegawai Eksekutif baharu, menyediakan pelbagai perkhidmatan dan penjagaan menyeluruh menerusi Pusat Kecemerlangan kami yang merangkumi Pusat Penjagaan Kanser, Pusat Jantung, Pusat Ortopedik, Pusat Wanita & Kanak-kanak serta Pembedahan Am.

Aurelius Healthcare ditubuhkan di Malaysia oleh pasukan veteran industri dengan pengalaman pengurusan penjagaan kesihatan global. Aurelius berhasrat untuk memodenkan dan menjadikan penjagaan kesihatan lebih mudah diakses di seluruh negara.
###
MENGENAI AURELIUS HEALTHCARE
“To breathe, to think, to care, to love…Aurelius Healthcare”

Diperbadankan pada tahun 2019, Aurelius Healthcare mengkhusus dalam pengurusan dan perkhidmatan penjagaan kesihatan primer, tertiari dan kuaternari. Ditubuhkan dengan megahnya di Malaysia menerusi pengalaman pengurusan penjagaan kesihatan global, kesediaan kami untuk menawarkan pengurusan hospital tersuai dan bertaraf dunia bagi fasiliti baharu atau memodenkan aset penjagaan kesihatan yang telah kukuh direalisasikan menerusi rangkaian meluas kepakaran industri dalaman kami. Hospital tertiari penjagaan kesihatan Aurelius memiliki semua pengkhususan perubatan dan pembedahan yang memenuhi spektrum keseluruhan keperluan penjagaan kesihatan pesakit tempatan dan antarabangsa.

MENGENAI NAVIS CAPITAL PARTNERS LIMITED
Ditubuhkan pada tahun 1998, Navis menguruskan kira-kira US$5 bilion dalam modal ekuiti swasta dan memberikan tumpuan pada pelaburan terutamanya di Asia dan sekitarnya. Navis menyumbangkan kepakaran modal dan pengurusan kepada beberapa syarikat kukuh dalam jumlah yang terhad dengan objektif menjana penambahbaikan strategik, operasi dan kewangan. Navis memiliki pasukan profesional ekuiti swasta yang terbesar di Asia, yang terdiri daripada 70 individu dan disokong oleh lebih 30 kakitangan pentadbiran, di enam buah pejabat merentas rantau ini. Navis mempunyai rekod prestasi yang panjang dan terbukti dalam ekuiti swasta pan-Asia, dengan lebih 80 urus niaga kawalan merentas rantau Asia yang disempurnakan sejak penubuhannya.

Share:

AURELIUS HEALTHCARE
To Breathe, To Think, To Care, To Love