Bayangkan senario ini: Anda atau ibu bapa anda telah menjalani pembedahan katarak beberapa bulan atau setahun yang lalu. Pada mulanya, penglihatan sangat jelas, seolah-olah dunia kembali terang. Namun, sejak kebelakangan ini, anda perasan pandangan mula kabur semula. Memandu di waktu malam mula terganggu dengan silau, dan tulisan di televisyen kelihatan seperti ada kabus yang menghalang.

Adakah katarak anda tumbuh semula?
Jawapannya adalah tidak. Katarak yang telah dibuang secara fizikal tidak akan boleh tumbuh kembali. Sebaliknya, keadaan yang anda mungkin alami ialah Posterior Capsule Opacity (PCO), atau dalam bahasa mudahnya, "katarak sekunder".
Keadaan ini amat lazim berlaku, di mana dianggarkan hampir 25% individu akan mengalami PCO dalam tempoh lima tahun selepas pembedahan katarak. Namun begitu, dengan adanya inovasi teknologi baru, kadar insiden ini kini semakin berkurangan.
Mengapa PCO Boleh Berlaku?
Untuk memahami punca PCO, mari kita dalami anatomi mata dan cara pembedahan katarak dilakukan secara ringkas:
- Kapsul Kanta (Lens Capsule): Semasa pembedahan katarak, pakar mata akan mengekalkan sehelai selaput nipis yang dipanggil kapsul kanta semulajadi anda. Kapsul ini sangat penting kerana ia berfungsi sebagai poket sokongan untuk memegang kanta tiruan (intraocular lens) yang baharu.
- Baki Sel Epithelial: Walaupun kapsul tersebut telah dibersihkan secara rapi semasa pembedahan, sebilangan sel mikro (sel epithelial) kanta yang asal kadangkala masih berbaki.
- Migrasi dan Fibrosis Sel: Proses penyembuhan semulajadi badan boleh menyebabkan sel-sel baki ini bergerak, dan berkumpul di bahagian belakang kapsul kanta (capsule posterior). Lama-kelamaan, pengumpulan sel ini mengalami proses fibrosis (penebalan tisu) lalu membentuk lapisan legap yang menghalang cahaya daripada sampai ke retina (Sahu & Mishra, 2019). Inilah sebabnya penglihatan kembali terasa "rabun".
Tanda-Tanda Anda Alami PCO
Simptom PCO sangat menyerupai tanda-tanda katarak yang asal. Pesakit biasanya akan mengalami seperti berikut:
- Penglihatan yang semakin kabur secara perlahan-lahan.
- Masalah silau yang teruk, terutamanya lingkaran cahaya (halos) di sekeliling lampu jalan atau lampu kereta malam.
- Warna objek di sekeliling kelihatan pudar atau kurang menyerlah.
Solusi Pantas: Rawatan Laser YAG
Berita baiknya ialah, anda tidak perlu masuk ke dewan bedah semula untuk membuang selaput ini. PCO boleh dirawat dengan selamat, cepat, dan tanpa sakit menggunakan prosedur yang dipanggil YAG Laser Capsulotomy.
Prosedur ini hanya mengambil masa sekitar 5 hingga 10 minit sahaja. Semasa prosedur dijalankan:
Mata anda akan dititiskan ubat untuk mengembangkan anak mata serta ubat bius setempat.
Doktor akan menggunakan sejenis laser khas (YAG laser) untuk menebuk satu lubang kecil di tengah-tengah selaput kapsul yang kabur itu.
Langkah ini membolehkan laluan cahaya kembali terbuka dan terus ke retina.
Selepas beberapa jam, apabila kesan ubat kembang mata berkurangan, kebanyakan pesakit akan mendapati tahap penglihatan mereka kembali jelas serta-merta.
Jika anda mengalami rabun semula selepas pembedahan katarak, jangan cemas dan jangan menganggap pembedahan anda gagal. Ia adalah tindak balas biologi badan yang biasa. Segeralah berjumpa dengan doktor mata anda untuk pemeriksaan. Rawatan laser yang ringkas ini mampu mengembalikan kecerahan mata anda supaya anda boleh kembali menikmati aktiviti harian dengan selesa.
Artikel ini ditulis oleh Dr. Shakira Jeffrey, Pakar Oftalmologi dan Glaukoma.
Rujukan
- Sahu, P., & Mishra, A. K. (2019). Determinants of posterior capsular opacity after cataract surgery: A cross-sectional study. International Journal of Research in Medical Sciences, 7(2), 577–581. https://doi.org/10.18203/2320-6012.ijrms20190024
- Schaumberg, D. A., Dana, M. R., Christen, W. G., & Glynn, R. J. (1998). A systematic overview of the incidence of posterior capsule opacification. Ophthalmology, 105(7), 1213–1221. https://doi.org/10.1016/S0161-6420(98)97023-3
Our Specialist
-
Ophthalmology
-